Thursday, 13 December 2018

Penutup

Mati akan menemui sesiapa saja, tiada yang terkecuali. Tidak kira di mana saja, kematian boleh berlaku dan kematian ini mnurut orang yang hidup bersedia untuk menyelenggarakannya. Itulah tuntutan syariat agama kita. Terutama kalau kematian itu adalah dari keluarga terdekat kita, maka sewajarnya waris yang terdekat pula yang menguruskannya.

Di sebalik itu juga, kematian akan mengingatkan kita, adakah kita sudah bersedia untuk menjejakkan kaki kita ke liang kubur? Sudah cukupkah bekalan yang kita ada untuk perjalanan yang amat jauh dan tiada kesudahan nanti. Oleh itu insaflah diri kita dan segeralah bersiap sedialah dari sekarang. Janganlah nanti kita menjadi orang yang menyesal kerana mempersia-siakan umur yang Allah bekalkan kepada kita.

Doa Sesudah Talqin


Ertinya:

Ya Allah. Orang-orang yang sayangkan si mati ini, iaitu anaknya, kaum keluarganya, sanak saudaranya dan sahabat handainya telah menyerahkannya kepadaMu. Berpisahlah si mati dengan orang-orang yang dicintainya, keluar dari keluasan rumah tangga dan kemewahan hidupnya menuju kegelapan kubur. Dia telah menuju menemuiMu. Ya Allah dan Engkaulah sebaik-baik tempat yang ditujui. Kiranya Engkau ampunkan si mati ini, maka Engkaulah saja yang berhak mengampunkannya.

Ya Allah. Engkau Maha Kaya (Maha Berkuasa) menyeksakannya sedangkan dia benar-benar berhajat limpah rahmatMu.

Ya Allah. Kurniakanlah kebaikan kepada si mati ini, ampumkanlah dosa kejahatannya. Kurniakanlah syafaat kepada si mati ini. Maafkanlah kesalahannya. Luaskanlah kuburnya. Lindungilah dia dari azab kubur. Masukkanlah (ke dalam kuburnya) rasa ketenteraman dan kesihatan. Lepaskanlah dia dari segala halangan yang menyekat jalan ke syurga "Illyyin", mohon limpah rahmatMu jua ya Allah. Moga-moga dicucuri rahmat dan sejahtera ke atas jungjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Wednesday, 12 December 2018

Lafaz Talqin


Terjemahannya:

Dengan nama AllahYang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Segala sesuatu akan mati kecuali Tuhan.
Tuhan Allah yang punya perintah dan kepadaNya kamu dikembalikan.
Tiap-tiap diri akan merasakan kematian, dan bahawasannya pahala untukmu akan dicukupkan di hari akhirat.
Orang yang beruntung ialah orang yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan sebentar.

""Dari tanah Kami jadikan kamu, kepada tanak Kami kembalikan dan dari tanah juga kamu akan Kami hidupkan sekali lagi." (Taha: 55)

Dari tanah Kami jadikan kamu (untuk mencari upah dan pahala) kepada tanah Kami kembalikan kamu (untuk dimakan ulat dan tanah), dan dari tanah kamu akan dikeluarkan (untuk menghadiri padang mahsyar dan untuk melakukan pemeriksaan).

Dengan nama Allah, dan dengan Allah, dan dari Allah dan kepada Allah dan atas nama agama Rasulullah. Inilah yang dijanjikan Tuhan dan benarlah perkataan Rasul-rasul.

"Hanya dengan satu suara keras, lantas semua orang dibawa ke hadapanKu". (Yaasin: 52-53)

Hai si fulan anak si fulan, hai hamba Allah anak hamba Allah, mudah-mudahan Allah mengasihi kamu, dunia dan segala kemegahannya sudah habis untukmu, sekarang kamu sudah dalam permulaan alam barzakh, maka janganlah engkau lupakan ikrar yang telah engkau ikrarkan di dunia untuk menempuh hari akhirat, iaitu pengakuan bahaw tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad s.a.w., Rasulullah. Kalau datang kepadamu dua orang malaikat dan kepada kawan-kawanmu yang sama dengan kamu dari umat Nabi Muhammad s.a.w. maka janganlah engkau terkejut dan takut kerana keduanya adalah makhluk Allah serupa kamu juga.

Kalau mereka sudah datang dan mereka dudukkan engkau dan bertanya siapa Tuhan engkau, apa agama engkau, siapa nabi engkau, apa iktikad engkau dan apa yang engkau bawa mati, maka jawablah: "Allah Tuhanku!"

Kalau meeka tanya lagi maka jawablah: "Allah Tuhanku." Kalau mereka tanya yang ketiga kali, dan itulah kesudahan yang baik, maka jawablah dengan suara yang lantang, tidak takut dan gelisah: "Tuhanku Allah, Islam agamaku, Muhammad Nabiku, al-Qur'an imamku, Ka'abah kiblatku, sembahyang kewajipanku, kaum muslimin saudaraku, Nabi Ibrahim bapaku, dan aku hidup dan mati di atas kalimah Laa illaaha Illallah, MuhammadarRasulullah".

Pegang teguh hai hamba Allah hujah ini, dan ingatlah engkau akan menetap di alam barzakh hingga sampai hari dibangkitkan.

Kalau kamu ditanya lagi tentang orang yang dirasulkan untukmu dan untuk sekalian makhluk maka jawablah bahawa beliau itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. yang membawa kepada kami al-Qur'an dari Tuhannya maka kami mengikut dia, kami imam dengan dia, kami membenarkan kerasulannya. Andai kata orang tidak mahu mengikut dia maka apa boleh kami buat, kami hanya akan mengatakan: "Pemimpin kami Allah, tiada Tuhan selain Allah, kepadaNya kami tawakkal dan Dialah Tuhan Arasy Yang Besar."

Ketahuilah, wahai hamba Allah, bahawasannya mati itu adalah benar, turun ke kubur adalah benar, pertanyaan Munkar dan Nakir itu benar, bangkit sesudah mati itu adalah benar, Titian Siratul Mustaqim itu adalah benar, neraka itu benar, syurga itu benar, Hari Kiamat itu pasti datang tidak ragu lagi, dan bahawasannya Allah akan membangkitkan kembali sekalian orang yang dalam kubur, dan kami menitipkan kamu kepada Allah.


Bacaan Talqin (Pengenalan)

Mentalqinkan orang yang sudah wafat hukumnya sunat. Orang yang mengerjakannya akan diberi pahala dan ianya juga berfaedah bagi mayat yang ditalqinkan.

Makna talqin mayat ialah memberi ingat kepada si mayat. Mentalqinkan mayat ini telah dilakukan sejak dari zaman sahabat dan tabi'in lagi, umumnya zaman solafussolehin hinggalah zaman khalaf. Orang mati akan diingatkan oleh yang hidup, akan jawapan-jawapan yang sepatutnya dijawab kepada malaikat Nakir bila disoal di dalam kubur nanti.

Sekarang ini, ramai orang yang menolaknya amalan talqin ini dengan jelas alasan yang telah mati tidak guna ditalqinkan kerana orang sudah mati tidak boleh diajar lagi. Sebenarnya persoalan ini hanya khilaf sahaja. Terserahlah, sama ada mahu mengamalkannya atau tidak dan tidak sepatutnya ianya dijadikan alasan untuk perpecahan dan pergaduhan di kalangan masyarakat Islam. Ulama' yang memfatwakan takqin itu sunat ialah ulama' dalam mazhab Syafie.


Membaca Talqin

Setelah mayat dikuburkan dan sebelum semua yang hadir pulang, salah seorang dari penghantar mayat, seelok-eloknya orang tua atau seorang ulama' yang soleh, duduk bertentangan dengan muka mayat untuk membacakan talqin. Ianya juga boleh dilakukan sebelum doa dilafazkan.

Lafaz talqin antaranya mengandungi ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan kematian, peringatan, ajaran dan doa.

Tuesday, 11 December 2018

Perkara-perkara Yang Berkaitan Dengan Kubur


1.    Perkara berikut adalah dilarang melakukannya:
a)    Menembok kubur
b)    Duduk di atasnya
c)    Membuat rumah di atasnya
d)    Membuat tulisan-tulisan di atasnya
e)    Menjadikan perkuburan sebagai masjid

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah melarang menembok kubur, duduk di atasnya dan membuat rumah di atasnya. (Riwayat Ahmad dan Muslim).

2.    Memindahkan mayat
Ada ulama’ yang berpendapat, tidak ada halangan asalkan terpelihara dengan baik, kerana asal hukum sesuatu itu harus (boleh).

Setengah ulama’ pula berpendapat hukum membawa mayat dari negeri tempat meninggalnya, untuk dikuburkan di negeri lain, haram hukumnya, kerana ditakuti merosakkan kehormatan si mati tadi.

3.    Membongkar kubur
Apabila mayat dikuburkan, tidak boleh dibongkar (haram dibongkar) kerana merosakkan kehormatan si mayat, kecuali jika terjadi beberapa keadaan yang berikut:
a)    Mayat tersebut tidak dimandikan, tidak dikafankan, tidak disembahyangkan.
b)    Tidak menghadap kiblat.
c)    Di tanah perkuburan yang dirampas.
d)    Dibungkus dengan kain kafan yang dirampas.

Jika terjadi salah satu perkara di atas, maka bolehlah kubur itu dibongkar.

Membongkar kubur lama, tidak ada halangan asalkan mayat sudah hancur, bererti tulang-tulangnya telah hancur jadi tanah. Bagi mengetahui adakah sudah hancur atau belum hendaklah bertanyakan kepada keluarga si mayat berapa lama ia ytelah dikuburkan. Kerana memandangkan kepada keadaan tempat itu, jenis tanahnya, kering atau basah.


Menurunkan Jenazah Ke Dalam Kubur



1.    Orang yang aula menurunkan jenazah dan yang menerimanya di dalam kubur ialah mereka yang aula mengimamkan sembahyang ke atasnya. Jika yang aula tidak mampu maka hendaklah yang hadir turun ke dalam kubur seramai tiga atau lima orang lelaki.

2.    Angkat jenazah perlahan-lahan dengan lemah lembut, dahulukan kepala dari kakinya, sambil mengangkat jenazah sunat membaca:


Ertinya: “Dengan nama Allah dan atas agama Muhammad”.
(Riwayat at-Tarmizi).

Setelah sempurna jenazah disambut oleh orang yang di dalam kubur, barulah mereka sama-sama merendahkan badan dan memasukkan kepala jenazah ke dalam lubang liang lahad, diikuti pinggangnya kemudian barulah kakinya. Dalam satu riwayat disebutkan:

Ertinya: Bahawasannya Abdullah bin Yazid, telah menyembahyangkan jenazah al-Harits kemudiannya memasukkannya ke dalam kubur hingga ke dasar kubur dan katanya: “Cara seperti ini (memasukkan mayat) adalah dari sunnah Nabi s.a.w.”
(Riwayat Abu Daud).

3.    Semasa jenazah dikebumikan wajiblah dihadapkan mukanya kea rah kiblat. Disunatkan rusuk kanannya di bawah. Kepalanya sunat diangkat dan dibantalkan dengan tanah. Eloklah kain pada pipinya yang kanan dibukakan supaya bertemu dengan tanah. Di belakangnya hendaklah disendalkan dengan tanah kuat-kuat supaya tidak terbalik atau terlentang kemudian diletakkan papan lalu ditimbus.

4.    Jika mayat perempuan, ketika memasukkan ke dalam kubur hendaklah ditutup di atas kain atau sebagainya agar tidak menjadi tontonan umum.

5.    Sunat dibukakan tali pengikat kafan mayat itu semuanya sambil bembacakan doa:

Ertinya: “Dengan nama Allah dan atas nama Rasulullah”.

6.    Sunat orang yang di tepi kubur meletakkan tiga kepalan tanah dari sebelah kepala mayat ketika dikebumikan:

Kepalan yang pertama dibaca:

Ertinya: “Daripada tanah Kami jadikan kamu!”.

Kepalan tanah yang pertama itu diletakkan dekat kepala jenazah.

Pada kepalan kedua dibaca:

Ertinya: “Dan kepadanya Kami kembalikan kamu”.

Kepalan tanah yang kedua ini diletakkan di pinggang jenazah.

Pada kepalan ketiga:

Ertinya: “Dan dari tanah juga akan dikeluarkan kamu sekali lagi”.

Kepalan ketiga diletakkan di kaki jenazah.

Orang yang mengepalkan tanah ialah orang yang berada di atas kubur, manakala orang yang membacanya ialah orang yang menerima kepal tanah yang berada  di dalam kubur tetapi yang lebih aula orang yang mengepalkan tanah itulah yang membacanya.

7.    Setelah sempurna meletakkan tanah kepal pada tempatnya sunat dibacakan:

8.    Setelah membacakan doa tersebut 3 kali maka barulah liang lahad itu ditutup dengan papan yang bersih lagi kuat.

9.    Masukkan tanah sedikit demi sedikit dengan perlahan sehingga kubur tersebut menjadi sama dengan tanah asal.

Orang yang di dalam kubur, ia tidak harus naik (keluar dar dalam kubur) dan hendaklah berada di dalam kubur semasa tanah dijatuhkan. Mereka dikehendaki mengemaskan dan meratakan tanah yang dijatuhkan dengan tapak kaki mereka dengan cara terhormat hingga betul-betul tanah menjadi kemas/mantap.

Apabila tanah kubur telah sama dengan tanah asal maka barulah mereka boleh meninggalkan kubur.

10. Sunat kubur itu ditinggikan kadar sejengkal dan diratakan, kemudian barulah ditanamkan nisannya.

Sunat juga diletakkan di atas kubur itu daun-daun yang hijau dan dijirus air di atasnya. Dari Jaafar bin Muhammad, dari bapanya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah menyiramkan kubur anak beliau Ibrahim”
(Riwayat as-Syafie).

Haram membina kubur dengan batu yang diukir dengan belanja yang besar di atas tanah perkuburan awam, hanya sunat meletakkan nisan yang besar sedikit di bahagian kepala dan manakala yang kecil diletakkan di bahagian kakinya.

11. Bentangkan tikar atau daun-daun hidup di bahagian belakang (duduk menghadap ke kiblat) dan bolehlah dibacakan talkin.

12. Sesudah mayat dikuburkan sunat bagi yang menghantarkannya berhenti sebentar untuk mendoakannya (memintakan ampun dan mina supaya ia mempunyai keteguhan dalam jawapan-jawapannya).

Riwayat dari Usman bin Affan, katanya bahawa Nabi s.a.w. apabila selesai menguburkan mayat berdiri di perkuburan seraya berkata: “Mohonkanlah ampun untuk saudara kamu dan mintalah keteguhan, kerana dia sekarang sedang ditanyai”.

Ruzain menceritakan, katanya, Ali apabila selesai menguburkan jenazah membacakan doa yang maksudnya: “Ya Allah, ini adalah hambaMu, datang dia ke dunia ini kerana Engkau dan Engkaulah sebaik-baik yang menurunkan, ampunilah dosanya dan luaskanlah tempatnya.”

Bagi menyempurnakan apa yang telah dianjurkan oleh Rasulullah, telah diadakan satu cara yang sistematik yang meliputi doa, ingatan, pengajaran dan nasihat untuk orang yang mati dan terutama juga untuk orang yang masih hidup.

Justeru itu dianjurkan agar dibacakan talqin bukan sahaja dalam bahasa arab bahkan dianjurkan juga dibaca di dalam bahasa melayu atau apa-apa bahasa yang difahami oleh orang ramai supaya mereka dapat memahaminya.


Keadaan Liang Lahad


Sekurang-kurangnya keadaan kubur ialah tidak ada satu lubang yang membolehkan keluar bau mayat dan tidak boleh dibongkar oleh binatang buas.

Keadaan kubur yang afdhal ialah:

1.    Kubur itu jangan terlalu luas atau terlalu sempit. Kira-kira 4 kaki lebarnya.

2.    Anggaran dalamnya ialah 4 ½ hasta atau setinggi orang yang berdiri dilebihkan lagi sehasta.

3.    Dibuat lahad lebih utama. Lahad ialah tepi lubang kubur sebelah kiblat kemudian diapit dengan semacam batu bata sehingga ia seperti  rumah yang beratap.

Jika boleh, korek lubang kea rah kiblat sekadar boleh dimuatkan mayat di dalam lubang biasa.

Dari Amir bi Sa’d katanya: “Buatkan olehmu, liang lahad untukku, dan pasanglah di atasku batu bata, sebagaimana dibuat pada kubur Rasulullah s.a.w.” (Riwayat Ahmad dan Muslim).

Andainya tanah perkuburan itu mudah runtuh maka hendaklah dibuat liang tengah. Untuk menutup mayat, eloklah menggunakan papan.