Tuesday, 11 December 2018

Menurunkan Jenazah Ke Dalam Kubur



1.    Orang yang aula menurunkan jenazah dan yang menerimanya di dalam kubur ialah mereka yang aula mengimamkan sembahyang ke atasnya. Jika yang aula tidak mampu maka hendaklah yang hadir turun ke dalam kubur seramai tiga atau lima orang lelaki.

2.    Angkat jenazah perlahan-lahan dengan lemah lembut, dahulukan kepala dari kakinya, sambil mengangkat jenazah sunat membaca:


Ertinya: “Dengan nama Allah dan atas agama Muhammad”.
(Riwayat at-Tarmizi).

Setelah sempurna jenazah disambut oleh orang yang di dalam kubur, barulah mereka sama-sama merendahkan badan dan memasukkan kepala jenazah ke dalam lubang liang lahad, diikuti pinggangnya kemudian barulah kakinya. Dalam satu riwayat disebutkan:

Ertinya: Bahawasannya Abdullah bin Yazid, telah menyembahyangkan jenazah al-Harits kemudiannya memasukkannya ke dalam kubur hingga ke dasar kubur dan katanya: “Cara seperti ini (memasukkan mayat) adalah dari sunnah Nabi s.a.w.”
(Riwayat Abu Daud).

3.    Semasa jenazah dikebumikan wajiblah dihadapkan mukanya kea rah kiblat. Disunatkan rusuk kanannya di bawah. Kepalanya sunat diangkat dan dibantalkan dengan tanah. Eloklah kain pada pipinya yang kanan dibukakan supaya bertemu dengan tanah. Di belakangnya hendaklah disendalkan dengan tanah kuat-kuat supaya tidak terbalik atau terlentang kemudian diletakkan papan lalu ditimbus.

4.    Jika mayat perempuan, ketika memasukkan ke dalam kubur hendaklah ditutup di atas kain atau sebagainya agar tidak menjadi tontonan umum.

5.    Sunat dibukakan tali pengikat kafan mayat itu semuanya sambil bembacakan doa:

Ertinya: “Dengan nama Allah dan atas nama Rasulullah”.

6.    Sunat orang yang di tepi kubur meletakkan tiga kepalan tanah dari sebelah kepala mayat ketika dikebumikan:

Kepalan yang pertama dibaca:

Ertinya: “Daripada tanah Kami jadikan kamu!”.

Kepalan tanah yang pertama itu diletakkan dekat kepala jenazah.

Pada kepalan kedua dibaca:

Ertinya: “Dan kepadanya Kami kembalikan kamu”.

Kepalan tanah yang kedua ini diletakkan di pinggang jenazah.

Pada kepalan ketiga:

Ertinya: “Dan dari tanah juga akan dikeluarkan kamu sekali lagi”.

Kepalan ketiga diletakkan di kaki jenazah.

Orang yang mengepalkan tanah ialah orang yang berada di atas kubur, manakala orang yang membacanya ialah orang yang menerima kepal tanah yang berada  di dalam kubur tetapi yang lebih aula orang yang mengepalkan tanah itulah yang membacanya.

7.    Setelah sempurna meletakkan tanah kepal pada tempatnya sunat dibacakan:

8.    Setelah membacakan doa tersebut 3 kali maka barulah liang lahad itu ditutup dengan papan yang bersih lagi kuat.

9.    Masukkan tanah sedikit demi sedikit dengan perlahan sehingga kubur tersebut menjadi sama dengan tanah asal.

Orang yang di dalam kubur, ia tidak harus naik (keluar dar dalam kubur) dan hendaklah berada di dalam kubur semasa tanah dijatuhkan. Mereka dikehendaki mengemaskan dan meratakan tanah yang dijatuhkan dengan tapak kaki mereka dengan cara terhormat hingga betul-betul tanah menjadi kemas/mantap.

Apabila tanah kubur telah sama dengan tanah asal maka barulah mereka boleh meninggalkan kubur.

10. Sunat kubur itu ditinggikan kadar sejengkal dan diratakan, kemudian barulah ditanamkan nisannya.

Sunat juga diletakkan di atas kubur itu daun-daun yang hijau dan dijirus air di atasnya. Dari Jaafar bin Muhammad, dari bapanya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah menyiramkan kubur anak beliau Ibrahim”
(Riwayat as-Syafie).

Haram membina kubur dengan batu yang diukir dengan belanja yang besar di atas tanah perkuburan awam, hanya sunat meletakkan nisan yang besar sedikit di bahagian kepala dan manakala yang kecil diletakkan di bahagian kakinya.

11. Bentangkan tikar atau daun-daun hidup di bahagian belakang (duduk menghadap ke kiblat) dan bolehlah dibacakan talkin.

12. Sesudah mayat dikuburkan sunat bagi yang menghantarkannya berhenti sebentar untuk mendoakannya (memintakan ampun dan mina supaya ia mempunyai keteguhan dalam jawapan-jawapannya).

Riwayat dari Usman bin Affan, katanya bahawa Nabi s.a.w. apabila selesai menguburkan mayat berdiri di perkuburan seraya berkata: “Mohonkanlah ampun untuk saudara kamu dan mintalah keteguhan, kerana dia sekarang sedang ditanyai”.

Ruzain menceritakan, katanya, Ali apabila selesai menguburkan jenazah membacakan doa yang maksudnya: “Ya Allah, ini adalah hambaMu, datang dia ke dunia ini kerana Engkau dan Engkaulah sebaik-baik yang menurunkan, ampunilah dosanya dan luaskanlah tempatnya.”

Bagi menyempurnakan apa yang telah dianjurkan oleh Rasulullah, telah diadakan satu cara yang sistematik yang meliputi doa, ingatan, pengajaran dan nasihat untuk orang yang mati dan terutama juga untuk orang yang masih hidup.

Justeru itu dianjurkan agar dibacakan talqin bukan sahaja dalam bahasa arab bahkan dianjurkan juga dibaca di dalam bahasa melayu atau apa-apa bahasa yang difahami oleh orang ramai supaya mereka dapat memahaminya.