Tuesday, 11 December 2018

Perkara-perkara Yang Berkaitan Dengan Kubur


1.    Perkara berikut adalah dilarang melakukannya:
a)    Menembok kubur
b)    Duduk di atasnya
c)    Membuat rumah di atasnya
d)    Membuat tulisan-tulisan di atasnya
e)    Menjadikan perkuburan sebagai masjid

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah melarang menembok kubur, duduk di atasnya dan membuat rumah di atasnya. (Riwayat Ahmad dan Muslim).

2.    Memindahkan mayat
Ada ulama’ yang berpendapat, tidak ada halangan asalkan terpelihara dengan baik, kerana asal hukum sesuatu itu harus (boleh).

Setengah ulama’ pula berpendapat hukum membawa mayat dari negeri tempat meninggalnya, untuk dikuburkan di negeri lain, haram hukumnya, kerana ditakuti merosakkan kehormatan si mati tadi.

3.    Membongkar kubur
Apabila mayat dikuburkan, tidak boleh dibongkar (haram dibongkar) kerana merosakkan kehormatan si mayat, kecuali jika terjadi beberapa keadaan yang berikut:
a)    Mayat tersebut tidak dimandikan, tidak dikafankan, tidak disembahyangkan.
b)    Tidak menghadap kiblat.
c)    Di tanah perkuburan yang dirampas.
d)    Dibungkus dengan kain kafan yang dirampas.

Jika terjadi salah satu perkara di atas, maka bolehlah kubur itu dibongkar.

Membongkar kubur lama, tidak ada halangan asalkan mayat sudah hancur, bererti tulang-tulangnya telah hancur jadi tanah. Bagi mengetahui adakah sudah hancur atau belum hendaklah bertanyakan kepada keluarga si mayat berapa lama ia ytelah dikuburkan. Kerana memandangkan kepada keadaan tempat itu, jenis tanahnya, kering atau basah.