Hukum mengusung jenazah adalah fardhu kifayah dan ianya mestilah dilakukan oleh kaum lelaki tidak kira sama ada mayat itu lelaki atau wanita atau kanak-kanak. Kaum muslimin lain disunatkan menghadirinya supaya maut itu dapat dijadikan sebagai pengajaran.
Sekiranya jenazah itu adalah orang dewasa maka sunat jenazahnya dibawa oleh empat orang lelaki. Setiap seorang dari mereka memegang satu bucu dari keranda itu. Jika mayat itu kanak-kanak kecil ianya boleh dibawa oleh seorang sahaja.
Riwayat daripada Ibnu Mas'ud, katanya: "Sesiapa yang menghantar jenazah, maka hendaklah ia memikul pada semua pinggir usungan, kerana itu merupakan sunnah. Kemudian kalau ia mahu, boleh menambah kebaikan (dengan memikulnya lagi) dan kalau ia mahu boleh membiarkannya (tidak ikut memikulnya lagi, bertukar ganti)."
Disuruh membawa mayat tersebut dengan segera, ini sesuai dengan hadis dari Abu Hurairah, katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Ertinya: "Segeralah menghantar jenazah, kerana kalau dia orang soleh bererti kamu menyegerakannya kepada kebaikan, dan jika dia tidak demikian, bererti keburukan yang kamu letakkan dari pundak kamu".
(Riwayat Imam yang tujuh dan Baihaqi).
Ketika mayat dibawa keluar dari rumah, didahulukan kepala dari kakinya. Setelah jenazah berada di luar rumah seeloknya salah seorang dari ahli warisnya atau wakilnya memberi ucapan ringkas bagi mengucapkan terima kasih di atas pertolongan serta kerjasama yang telah diberikan oleh yang hadir sehingga selamat jenazah dikebumikan.
Setelah itu barulah usungan jenazah dihantar ke perkuburan dengan cara yang baik serta sunat mempercepatkan perjalanan sekadar tidak mengaibkan jenazah.
Jika menghantar jenazah menggunakan kenderaan, setelah membaca al-Fatihah barulah jenazah itu diangkat ke dalam kenderaan.
Boleh berjalan di depan atau di belakang atau di kiri dan kanan jenazah bagi orang yang mengiringinya. Menurut jumhur ulama' berjalan di depannya lebih bagus daripada di belakangnya, sedangkan menurut Abu Hanifah dan al-Auza'iy lebih bagus berjalan di belakangnya.
Berjalan mengiringi jenazah lebih bagus daripada mengiringinya dengan naik kenderaan, kecuali itu memberatkan seperti sakit atau kuburannya jauh dari rumah dan sebagainya. Kalau naik kenderaan hendaklah berada di belakang jenazah.
Mayat orang hamil hendaklah dipegang dengan lemah lembut dan perlahan. Riwayat daripada Ata', katanya: "Kami dengan Ibnu Abbas turut menghadiri jenazah Maimunah (isteri Nabi). Nabi s.a.w. bersabda: 'Apabila kamu mengangkat usungannya janganlah kamu goncang'."
Setelah kamu sampai ke perkuburan, sunat memberiu salam seperti: