Di dalam sebuah hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa sewaktu roh diusung ia bergerak-gerak di atas keranda (usungan) sambil berkata: "Wahai keluarga, kerabat dan anak-anakku, wahai orang yang memakai pakaianku, membahagi-bahagi hartaku dan mendiami rumahku, janganlah kamu diperdaya oleh dunia sebagaimana ia telah memperdayakanku. Aku telah mengumpulkan harta dari usaha yang haram dan yang halal, dan telah kutinggalkan untuk kamu. Harta itu untuk kamu dan aku tinggal menerima nasib (persoalan), hati-hatilah kamu apa yang telah terjadi kepadaku."
Mengikut riwayat dari Abu Said al-Khudri, katana bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Apabila jenazah sudah diusung oleh kaum lelaki, kalau jenazah itu terdiri daripada orang soleh maka berkatalah dia: 'Bawalah aku segera!' Dan kalau jenazah itu orang jahat maka dia berkata: 'Aduh malangnya ke mana aku akan dibawa!' Keluhannya itu didengar oleh semua makhluk kecuali jin dan manusia, dan sekiranya manusia mendengarnya, maka mereka akan menjerit."