Saturday, 24 November 2018

Cara Mengkafankan Mayat Lelaki


Setelah mayat itu dibawa keluar dari tempat permandian, ia keluar dalam keadaan dibungkus dengan kain lepas yang panjang menutupi seluruh kepalanya hingga ke kakinya. Kain tersebut biarlah berwarna gelap dan lembut. Letakkan mayat tersebut di atas kafan yang telah sedia dibentangkan.

1.     Lapisan yang paling bawah ialah tali pengikat mayat itu:

i)             Tali di bahagian hujung kaki
ii)           Tali di bahagian lutut
iii)         Tali di bahagian pinggang (pusat)
iv)          Tali di bahagian hujung dada
v)            Tali di bahagian hujung kepala

2.    Lapisan yang lebar ialah yang berukuran tinggi (panjang mayat) dengan dilebihkan 2 kaki di bahagian kepala (untuk mengikat hujung kepala nanti) dan 2 kaki di bahagian hujung kaki (untuk mengikat hujung kaki).

Lebarnya ialah (untuk orang dewasa 60 inci dan untuk kanak-kanak 45 inci). Pastikan di atas lapisan kain ini telah ditaburi dengan serbuk cendana dan minyak wangi.

3.    Di atas kain kafan yang telah ditaburi serbuk cendana dan minyak wangi itu, diletakkan lapisan kain yang kedua iaitu baju (gamis). Kedudukan serbannya pula diletakkan di hujung atas pada kain lapis luar tadi.

4.    Di bahagian bawahnya pula kain sarung yang telah diukur dari bawah dada hinggalah ke hujung kaki (dilebihkan juga sepertimana kain kafan lapisa yang terbawah sekali).

Di atas gamis dan kain sarung ini diletakkan kapas yang telah ditaburi serbuk cendana dan minyak wangi atau kapur barus yang telah diserbukkan. Letakkan kapas agak banyak sedikit di tempat-tempat sendi dan pinggangnya.

5.    Setelah dipastikan semuanya lengkap, letakkan mayat tersebut di atas kafan yang telah disusun atur itu, dengan tertib dan perlahan-lahan.

Setelah selesai letakkan mayat di atas kain kafan tadi, sebaik-baiknya letakkan pula kapas ke seluruh badannya, utamakan di anggota-anggota sujud sebagai memuliakannya.

6.    Setelah dipastikan seluruh tubuhnya telah disaluti dengan kapas, pakaikan pula baju yang telah disediakan di atas kafan tadi. Masukkan bahagian kepala si mayat di dalam lubang leher baju. Lipat pula baju itu ke hadapan. Ikat tali-tali baju yang telah dilebihkan itu ke hadapan dan ikat tali-tali baju yang telah dilebihkan sewaktu membuat baju (gamis).

7.    Pakaikan serban dengan melapikkan kapas di bahagian dalamnya. Ikatkan ke belakang.

8.    Pakaikan pula kain sarung dengan dilipat dari sebelah kiri dan ditutupi dengan sebelah kanan. Kemudian diikatkan di bahagian pinggangnya dan di lututnya dan di hujung kakinya.

9.    Kemudian, kain kafan lapisan yang terbawah sekali itu dilipat seperti berikut:

i)             Mulakan dari sebelah kanan ke sebelah kiri, bermula dari bahagian muka. Kemudian lipat kain tersebut di bawah kaki kiri ke atas dan seterusnya.
ii)           Sebelum menutup bahagian mukanya seeloknya berilah peluang kepada keluarga si mati untuk melihat si mayat buat kali yang terakhir.
iii)         Ikatkan mayat dengan tali yang telah sedia ada di bahagian hujung kaki, di bahagian lutut, di bahagian pusat, di bahagian dada, dan akhir sekali di bahagian hujung kepala dengan dimatikan simpulannya di sebelah kiri lambungnya (rusuk kiri). Apabila mayat itu hendak dikebumikan, tali tersebut hendaklah dilonggarkan.
iv)          Ketika darurat misalnya kain sukar diperolehi, bolehlah digunakan menggunakan tikar, guni atau rumput kering. Jika rumput juga sukar diperolehi, hendaklah dibungkus dengan tanah.

Andainya darurat, mengkafani mayat boleh dilakukan walaupun hanya dengan sesuatu yang hanya dapat menutupinya dengan selapis pakaian sekalipun. Ini adalah kerana mengkafani mayat itu fardhu kifayah.

Riwayat daripada Khabbab bin Arat, katanya: “Kami hijrah bersama Rasulullah dengan mengharap keredhaan Allah. Maka tentulah akan kami terima pahalanya, kerana ada di antara kami ada yang meninggal sebelum memperolehi hasil duniawi sedikit pun. Mus’ab bin Umar misalnya, yang terbunuh dalam peperangan Uhud, dan tidak ada buat kain kafannya kecuali sehelai kain burdah.

Jika kepalanya ditutup akan kelihatanlah kakinya, dan jika kakinya ditutup akan terbukalah kepalanya. Rasulillah menyuruh kami supaya menutup kepalanya, dan meletakkan rumput izkhir pada kedua belah kakinya. Al-Izkhir ialah rumput yang harum dan dapat dijadikan untuk atap rumah”.