Thursday, 22 November 2018

Memandikan Mayat


Memandikan Mayat

Memandikan mayat hukumnya adalah wajib. Sekurang-kurangnya menghilangkan najis-najis yang terdapat padanya dan meratakan air ke seluruh badannya.

Orang yang mati lemas juga wajib dimandikan, kerana kita disuruh supaya memandikan orang yang mati dan kewajipan itu tidak gugur dari kita tanpa perbuatan kita sendiri.

Haram orang yang memandikan mayat itu melihat aurat si mayat. Sunat bagi orang yang memandikannya memadang yang lain dari auratnya. Kecuali dengan hajat keperluan untuk memandikannya.

Sunat ditutup muka mayat tersebut dari mula-mula diletakkan di atas tempat mandi dan wajiblah disentuh auratnya dengan berlapik.

Cara-cara memandikan mayat yang sempurna adalah seperti berikut:

1.     Pasangkan bau-bauan di dalam bilik yang menjadi tempat memandikan jenazah, biasanya gaharu, setanggi ataupun sesuatu yang boleh mendatangkan bau, yang boleh menukarkan bau bilik daripada bau jenazah kepada bau lain.

2.    Mula-mula hendaklah disalin dengan kain yang lembut ataupun kain sarung untuk menutup tubuhnya sewaktu memandikannya, kemudian letakkan mayat tersebut di atas tempat yang telah dikhaskan.

3.    Juru mandi hendaklah memastikan perkara-perkara yang menghalang air untuk sampai kepada anggota jenazah. Jika ada hendaklah dihilangkan terlebih dahulu misalnya lilin, getah, sisik ikan, selupat ikan, kesan plaster dan sebagainya.

4.    Mula memandikan mayat tersebut dengan membasuh seluruh anggota tubuh badannya dengan air mutlak dari kepala sebelah kanan hingga ke hujung kaki dengan niat. Bersih serta hilangkan segala cemar-cemar atau kotoran dan najis-najis yang terdapat pada tubuh badannya. Curahkan air mutlak ke serata tempat sambil menggosok-gosok tubuh badannya dan membuang najis yang melekat, jika ada.


5.    Dahulukan dengan niat seperti berikut:
Ertinya: “Sahaja aku memandikan mayat ini fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala”.

6.    Sekurang-kurangnya ada tiga orang yang bertugas memandikan mayat.

i)             Seorang ditugaskan mencurahkan air mutlak ke atas mayat tersebut.
ii)           Dua orang pula ditugaskan menggosok-gosok mayat tersebut untuk membersihkan najis-najis yang terdapat pada mayat tersebut. Sambil itu picit-picit sendinya sehingga lembut dan boleh digerak-gerakkan, picitkan pangkal lengan dan hujung jari, kemudian peha diikuti dengan lutut, tumit hinggalah ke hujung jari kaki. Ulangkan beberapa kali hingga anggota jenazah boleh digerak-gerakkan.

7.    Gunakan sabun wangi, gosokkan ke anggota jenazah dari pusat hingga ke kepala dan dari lutut hingga ke hujung kaki, gosoklah dengan lemah lembut dan tidak mengaibkan jenazah. Tujuannya adalah untuk menghilangkan kekotoran sama daki, kesan peluh dan sebagainya.

8.    Jiruskan air mutlak untuk menghilangkan air sabun (jirus dan gosoklah hingga diyakini betul-betul bersih) dan dimulai dengan anggota sebelah kanan. Rasulullah telah bersabda:

Ertinya: “Mulailah dengan anggota badan sebelah kanan dan tempat-tempat (anggota) wudhuknya”. (Riwayat Baihaqi).

9.    Di samping itu pula hendaklah mencungkil qubul (kemaluan hadapan) kalau mayat perempuan dan urutlah kemaluan lelaki dengan tangan yang berlapik dengan sarung tangan supaya najis-najis yang terdapat pada qubulnya dapat dikeluarkan dan dicuci.

Pada kebiasaannya sambil perut diurut dengan lemah lembut dan ditekan, masukkan dua atau tiga jari jurumandi (yang telah berbungkus) ke dalam lubang dubur jenazah di masa yang sama jiruskan air mutlak supaya najis yang keluar tidak terlalu melekat.

Jika gunakan kain, gunakan sekali sahaja pada setiap helai. Jika menggunakan sarung tangan, sarung tangan itu hendaklah dibersihkan dahulu sebelum menggunakannya buat kali kedua dan seterusnya.

10. Ketika mencungkil duburnya (lubang najis belakang) untuk menghilangkan najis-najis yang terdapat padanya berniatlah:


Ertinya: “Sahaja aku mengistinjakkan mayat ini kerana Allah Ta’ala”.

11.  Sambil itu curahkan air mutlak ke atas tempat yang kita cungkil itu.

12. Baringkanlah mayat tersebut untuk dibasuh segala najis-najis yang keluar dari duburnya dengan potongan kain yang bersih secara bertukar-tukar.

13. Kemudian, bersihkanlah matanya, sugikan giginya dengan kain sugi, lubang hidung dan telinga dengan kain gulung yang telah disediakan tadi. Di dalam mulut, pastikan disugi kawasan:

a)    Bawah lidah
b)   Mulut kanan bahagian atas
c)    Mulut kanan bahagian bawah
d)   Mulut kiri bahagian atas
e)   Mulut kiri bahagian bawah serta bahagian lubang pusat, di celah-celah jari tangan dan jari kaki bahagian kanan dan kiri.

14. Buangkan dan cungkilkan kekotoran yang ada di celah-celah kuku tangan dan di celah kuku kaki jenazah dengan lidi, kuku jenazah tidak boleh (haram) dikerat sekalipun panjang, dengan sebab itu usahakan kekotoran yang ada dibersihkan.

15. Jiruslah mayat tersebut dengan air mutlak hingga diyakini jenazah itu benar-benar bersih.

16. Kemudian basuh kepalanya dan janggutnya (sekiranya ada) dengan air sabun (sebaik-baiknya gunakan air sintuk kerana ia lebih lembut lagi).

17. Gosok perlahan-lahan dan bilaslah dengan air mutlak sehingga rata ke seluruh rambut dan janggutnya.

18. Jika mayat perempuan yang bersanggul maka hendaklah uraikan sanggulnya dan basuhlah dengan air sabun atau sintuk dan curahkanlah dengan lembut air mutlak sehingga merata ke seluruh rambutnya.

19. Menggunakan air Sembilan
'Air sembilan' (air dari tiga jenis yang dialirkan ke atas mayat sebanyak tiga kali pada tiap-tiap satu jenis air tersebut). Air itu ialah:
a)    Air mutlak
b)   Air daun bidara atau air daun inai
c)    Air kapur barus

20.Meratakan curahan air, iaitu dengan cara:
i)             Iringkan ke kiri. Jirus air mutlak dari kepala ke kaki tiga kali berturut-turut serta membaca:


Ertinya: “Ampunkanlah dia, wahai Tuhan dan kepada Engkau tempat kami kembali”.

ii)           Iringkanlah ke kanan pula. Jrus air mutlak dari kepala ke kaki tiga kali berturut-turut serta membaca:


Ertinya: “Ampunkalah dia, wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan kepada Engkaulah tempat kembali”.

21. Terlentangkanlah jenazah, kemudian jiruskanlah air mutlak dari kepala hingga ke kaki tiga kali berturut-turut serta membaca:



22. Setelah itu barulah mayat itu diwudhukkan dengan niatnya:


Ertinya: “Sahaja aku mewudhukkan mayat ini kerana Allah Ta’ala”.

Lakukanlah seperti kita mengambil air sembahyang dengan baik dan sempurna.

Niat mewudhukkan mayat itu adalah wajib. Manakala niat memandikan mayat adalah sunat hukumnya.

23.Kalau mayat kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan, maka hendaklah ditayamumkan dengan debu tanah yang suci yang telah pun disediakan di dalam dulang kecil. Begitu juga tayamum ini dilakukan kepada orang yang uzur tidak boleh kena air.

Niat tayamum ialah:


Ertinya: “Sahaja aku tayamumkan mayat ini kerana Allah Ta’ala”.

24.Jiruskan air daun bidara/air daun inai/air sintuk 3 kali dari kepala hingga ke kaki.

25.Jiruskan air kapur barus 3 kali berturut-turut dari kepala hingga ke kaki sebagai jirusan yang terakhir.

26.Rambut yang telah dibasuh tadi hendaklah disisir dengan sikat yang jarang matanya secara perlahan-lahan dan lemah lembut kerana ditakuti kalau kasar akan menyakiti mayat. Sisir rambut tersebut apabila telah selesai mamandikan mayat itu dengan air Sembilan. Andainya ada rambut yang gugur hendaklah dimasukkan ke dalam kain kafan atau kuburnya. Demikian juga rambut yang gugur sebelum dimandikan.

Bagi mayat wanita pula, sanggul yang telah diuraikan sewaktu mandi, disanggulkan semula dengan dibahagikan tiga, lalu dijalin dan disanggulkan melintang ke sebelah kanan.

27.Selesai memandikan mayat tersebut, hendaklah disumbat dubur (lubang najis di belakangnya) dengan kapas, agar air yang keluar dari perut jenazah tidak mengenai dengan kain, sebagai cawat sesudah disumbat kapas ke dalam dua kemaluannya (qubul dan dubur).

28.Setelah itu diperlembutkan sendi-sendinya sekali lagi sebagaimana dilakukan pada permulaan keluar rohnya. Kemudian barulah dilapkan badannya dengan kain yang bersih lagi kering.

29.Salinkan dengan kain yang bersih, kemudian barulah diusung keluar dari tempat mandi. Jika keluar najis setelah dimandikan, wajiblah dibersihkan najis itu sahaja dengan tidak perlu dimandikan semula.

Sunat bagi orang yang telah selesai memandikan mayat, mandi untuk dirinya pula dengan niat:

Ertinya: “Sahaja aku mandi sunat selepas memandikan mayat, kerana Allah Ta’ala”.

Begitu juga orang yang mengangkat mayat itu sunat pula mengambil air sembahyang untuk dirinya. Rasulullah telah bersabda:

Ertinya: “Sesiapa yang telah memandikan mayat, hendaklah ia mandi dan sesiapa yang telah mengangkat mayat hendaklah ia mengambil wudhuk”.

Apabila ada kotoran yang keluar dari perutnya setelah dimandikan tetapi dikafani maka wajib membasuh yang kena najis itu. Tentang apakah perlu dimandikan lagi khilaf ulama’ mengenainya. Menurut jumhur ulama’, tidak wajib. Sedangkan menurut Imam Ahmad, wajib.