Tuesday, 20 November 2018

Orang Yang Boleh Memandikan Mayat

Orang-orang yang dibenarkan untuk memandikan mayat adalah seperti berikut:

1. Islam

2. Merdeka

3. Bukan pembunuh si mayat

4. Jangan pula kanak-kanak

5. Bukan musuh si mayat

6. Bukan orang yang fasik

7. Orang yang jujur dan amanah


Perkara Yang Perlu Diambil Perhatian

Jangan sekali-kali kita menceritakan hal-hal keburukan tubuh badan si mayat. Sebaliknya kita anjurkan untuk menceritakan kebaikan si mayat kepada keluarganya. Ini adalah sunat hukumnya.

Dalam hadis Abu Rafi', katanya Nabi s.a.w. bersabda:

Ertinya: "Sesiapa yang memandikan mayat dan dia menyembunyikan aibnya, maka Allah akan mengampuni sebanyak 40 dosa besar daripadanya. Dan sesiapa yang menggali kubur bagi saudaranya, sehingga dia turun menimbusnya, maka seolah-olah dia telah membuat rumah tempat tinggal baginya, yang tahan sehingga saudaranya dibangkitkan". (Mafhum hadis riwayat Thabrani).

Dalam satu hadis dari Abu Hurairah katanya, Nabi s.a.w. bersabda:

Ertinya: "Tidaklah seorang hamba yang menutup aib orang lain semasa di dunia melainkan Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat". (Mafhum hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

Tidak diperlukan hadir ke tempat memandikan mayat itu selain orang yang mempunyai kepentingan. Mereka yang hadir tidak boleh mengucapkan kata-kata selain kata-kata yang baik, kerana malaikat akan mengaminkan apa yang mereka ucapkan.

Seelok-eloknya yang memandikan itu adalah orang baik dan yang dipercayai, supaya dia menyebarkan perkara-perkara baik, yang dilihatnya serta menyembunyikan apa yang tidak baik, jika terdapat pada si mayat. Rasulullah telah bersabda:

Ertinya: "Tidaklah seorang hamba yang menutup aib orang lain semasa di dunia melainkan Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat". (Riwayat: Ahmad dan Muslim).