Monday, 19 November 2018

Adab Berhadapan Dengan Orang Yang Nazak


Sekiranya kita berada di samping orang yang sedang menghadapi kematian, maka di samping berdoa supaya Allah memberikan keampunan baginya, juga kita digalakkan untuk melakukan beberapa perkara:

1.  Mentalqinkannya
Iaitu menuntun dan memimpinnya mengucapkan kalimah
 لا اله الا الله محمد رسوالله. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diterima daripada Abu Said al-Khudriy, bahawa Rasulullah bersabda:

Ertinya: “Ajarilah orang-orang yang hamper mati itu mengucapkan La ilaha illallah”. (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).

Talqin ini dilakukan manakala si sakit yang akan meninggal itu masih sedar dan masih boleh bercakap. Orang yang sudah hilang ingatan tentu tidak mungkin diajari (ditalqinkan) lagi. Orang yang tidak mampu bercakap lagi diharapkan dapat mengulang-ulang syahadah itu dalam hatinya.

Talqin tersebut jangan terlalu dipaksakan kepada orang yang menghadapi maut itu. Cukuplah diajarkan secara terang dan mantap. Kalua sudah dapt diikutinya telah kedengaran diucapkannya, janganlah ia diganggu lagi, mungkin kerana menanyakan atau meminta sesuatu, maka hendaklah terus ditalqinkan lagi, sehingga benar-benar kalimah لا اله الا الله محمد رسوالله itulah ucapannya yang terakhir sebelum meninggal dunia.

2.  Menghadapkannya ke kiblat
Orang yang akan mati sebaiknya dihadapkan ke arah kiblat, dalam keadaan berbaring pada sisi badan yang kanan, kepalanya ke arah utara dan kakinya ke arah selatan.

Jika tidak dapat berbuat demikian, maka terlentangkanlah ia, kepalanya mengarah ke timur, dan agak ditinggikan sedikit dengan memakai bantal, sedangkan kakinya kea rah kiblat. Ini berdasarkan kepada hadis dari Abu Qatadah bahawa tatkala Rasulullah tiba di Madinah, ia bertanya tentang Barra’ bin Ma’rur.

Jawab mereka: “Ia sudah wafat dan mewasiatkan sepertiga hartanya buat tuan, juga ia minta supaya dihadapkan ke kiblat sewaktu hendak meninggal dunia”. Maka sabda Rasulullah: “Tepat menurut fitrah (ajaran Islam). Mengenai hartanya yang sepertiga itu telah aku kembalikan kepada anaknya.” Kemudian Nabi mulai menyembahyangkannya dan berdoa: “Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia dan masukkanlah dia ke dalam syurga-Mu, dan memang telah Engkau lakukan”. (Riwayat Baihaqi dan al-Hakim).

Menghadapkan orang yang di saat sakaratul maut ke arah kiblat ini pernah dilakukan oleh Sayidinatina Fatimah binti Rasulullah di saat ia sakaratul maut.

Erti menghadapi kiblat ini ialah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah iaitu seperti orang yang tidur. Samalah juga ketika meletakkan mayat di dalam kubur. Menurut Imam Syafie ia suka orang yang hendak mati itu dihadapkan ke  arah kiblat, kepalanya sedikit ditinggikan agar wajahnya dan badannya tertuju ke arah kiblat.

3.  Menjemput orang yang soleh agar beroleh keberkatannya
Sunat menghadirkan orang-orang soleh yang diharapkan keberkatannya ke tempat orang yang hamper mati. Dan sunat mendoakannya supaya dia mendapat keampunan dan keringanan, sesuai dengan hadis Abu Said al-Khudriy katanya: “Manakala Rasulullah sudah datang, kami memberitahukan tentang orang-orang yang sudah nazak. Baginda terus menghadirinya sebelum mati, mendoakannya dan menunggu ajalnya”.

Kata Abu Said lagi: “Rasulullah lebih suka kalua diberitahukan kepadanya sebelum mati”. Katanya lagi: “Apabila kami beritahukan kepada Baginda setelah mati, Baginda datang menziarahinya, menyembahyangkan dan meminta ampunkan dosanya. Kemudian kalua Baginda melihat ada masa, baginda tunggu hingga selesai fardhu kifayahnya, dan kalau tidak baginda terus pulang”.

4.  Membaca surah Yasin
Disunatkan membaca surah Yasin di samping orang yang sedang nazak, sesuai dengan hadis Ma’qal bin Yasar bahawa Rasulullah bersabda:

Ertinya: “Tidak seseorang mayat yang dibacakan kepadanya Yasin, melainkan Allah meringankan berat penanggungannya”. (Ibnu Abiddunya dan Dailami).

Yasin dapat menguatkan hati dan mengukuhkan keimanan bagi orang yang sedang menunggu kematian. Maksud hadis ini membacakan Yasin kepada orang yang hampir mati, kerana kalua sudah mati tidak perlu lagi dibacakan Yasin kepadanya. Orang yang hamper mati disebut mayat adalah sebagai majaz. Kerana orang yang hampir mati sudah sama hukumnya dengan orang yang sudah mati.

5.  Membaca surah al-Baqarah
Al-Syi’biy berkata: “Orang-orang Ansar suka membacakan surah al-Baqarah di sisi orang yang hampir mati dan mereka suka menyebut-nyebut amal baik yang sudah dilakukannya. Tujuannya supaya orang yang nazak itu mempunyai harapan dan baik sangka kepada Allah”.

6.  Memberi minum
Hendaklah diberi minum jika ia dahaga ketika nazak.

7.  Bersugi
Boleh disarankan kepadanya supaya bersugi kalau ia mampu, atau disugikan giginya semoga memudahkan keluar rohnya dari jasad. Ini adalah yang diperbuat oleh Baginda Rasulullah sebelum Baginda wafat.