1. Bersabar
Keluarga yang menghadapi kematian perlulah bersabar. Manusia tidak akan terlepas dari diuji Allah. Ujian itu sepertilah ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, sedikit hasil pertanian dan juga buah-buahan, ataupun ujian jiwa seperti sakit dan kematian ahli keluarga.
Segala ujian yang pelbagai itu apabila menimpa kepada seseorang, janganlah diterima dengan putus asa dan keluh kesah. Biarlah semua cubaan itu diterima dengan ketabahan dan kesabaran.
Di sinilah masanya jika seseorang itu menginginkan pahala yang besar serta kasih sayang dan petunjuk dari Allah, Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 155:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya: "Allah S.W.T. berfirman: 'Tidak ada pembalasan bagi seorang hamba-Ku yang mukmin, jika Aku mengambil kekasihnya di dunia, kemudian ia redha dan berserah kepada-Ku melainkan syurga'". (Imam Bukhari).
Apabila seseorang itu sedang ditimpa sesuatu musibah, ia diperintahkan untuk bersabar. Sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah dalam surah al-Luqman, ayat 17:
Ertinya: "Dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya".
Ucapan yang terbaik bagi mereka yang ditimpa musibah kerana sesuatu kematian seseorang sama ada ayah, ibu, anak atau kaum keluarga, kawan dan lain-lainnya ialah: "Inna lillaahi wainna ilaihi raaji'uun".
Kalimah ini merupakan kalimah 'istirjaa' iaitu pernyataan kembali kepada Allah. Adalah sunat menyebutnya waktu seseorang tertimpa apa-apa musibah sama ada besar mahupun kecil, di dalam apa-apa jua keadaan pun. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 156:
Ertinya: (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."
Begitulah keutamaan sifat sabar itu. Apabila seseorang yang beriman itu redha serta boleh bersikap sabar terhadap kematian yang sedang menimpanya, balasannya adalah syurga. Sebagaimana Rasulullah bersabda:
Ertinya: "Allah S.W.T. telah berfirman: "Tidak ada pembalasan bagi seorang hamba-Ku yang mukmin, jika Akun mengambil kekasihnya di dunia, kemudian ia redha dan berserah kepada-Ku melainkan syurga"." (Riwayat Bukhari).
Tidak ada pembalasan atas keredhaan dalam menerima takdir Tuhan kecuali syurga, yang memang disediakan oleh Allah bagi hamba-Nya yang sabar menerima takdir-Nya.
Malangnya pada hari ini, ramai manusia yang lalai terhadap takdir Allah ini. Manusia lupa kematian adalah takdir Allah yang sepatutnya diterima dengan redha dan sabar.
2. Jangan Meratapi mayat
Bersabarlah bagi keluarga yang kematian dan janganlah sampai meratapi orang mati itu hungga memukul-mukul pipi dan mengoyak-ngoyakkan baju. Sebab itu bukanlah dari ajaran agama Islam.
Tidak mengapa kalau sekadar menangis tanpa berkata atau menyeru seperti orang jahiliayah. Ratapan ialah tanda marah dan tidak dapat menerima ketentuan Allah dengan redha. Inilah yang dilarang.
Mayat di dalam kubur akan diseksa menurut apa yang dijeritkan dalam tangisan keluarganya, begitulah juga halnya di hari kiamat. Dia akan diseksa sebagaimana rintihannya itu.
Nabi s.a.w. bersabda sebagaimana yang diberitakan dari Umar bi Khattab r.a.:
Ertinya: "Seorang mati diseksa dalam kubur menurut apa yang dijeritkan dalam tangisan keluarganya". (Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Mughairah bin Syu'bah r.a. berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya: "Siapa yang ditangisi dengan suara dan rintihan, maka akan terseksa sebagaimana rintihan itu pada hari kiamat". (Bukhari dan Muslim).
Merintih itu mengandungi bahaya sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.:
a) Tidak termasuk menjadi umat Muhammad s.a.w. Hadis yang diwartakan oleh Ibnu Masud iaitu Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya: "Bukan dari golonganku orang yang memukul-mukul pipi dan mengoyak saku dan menjerit dengan suara kaum jahiliyah". (Bukhari dan Muslim).
b) Merupakan tanda kekufuran. Hadis Rasulullah s.a.w.:
Ertinya: "Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah; mengoyak baju, merintih dan menghina nasib orang (keturunan orang)". (al-Hakim dan Ibnu Hibban).
c) Dapat menjerumuskan dalam kekufuran. Hadis nabi yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya: "Dua macam dalam kelakuan manusia dapat menjerumuskan ke dalam kufur, iaitu menghinakan nasib keturunan orang dan menangisi mayat sambil merintih".
d) Pada hari kiamat, dikenakan pakaian dari nyala api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Ertinya: "Merintih itu termasuk kebiasaan jahiliayah, dan orang yang merintih, jika mati sebelum bertaubat, maka Allah akan memotongkan untuknya pakaian dari puntung nyalaan api neraka". (Riwayat dari Ibnu Majah).
e) Memperolehi kutukan. Abu Said al-Khudri r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutuk orang yang merintih dan yang mendengarkannya.
f) Di barisan tepi neraka Jahannam sambil menggonggong bagaikan anjing untuk ahli neraka. Hadis dari Rasulullah s.a.w.:
Ertinya: "Wanita-wanita yang biasa merintih jika ada kematian akan dijadikan pada hari kiamat dua barisan di neraka Jahannam, satu barisan sebelah kanan dan satu barisan di sebelah kiri, lalu menggonggong bagaikan anjing untuk ahli neraka". (at-Thabrani).
3. Sunat mengucapkan takziah
Ianya ialah untuk menghibur, menyabarkan dan meringankan kesusahan yang dideritai oleh orang yang sedang ditimpa musibah kematian. Sunat sehingga 3 hari selepas kematiannya. Keutamaan takziah ialah:
a) Memperolehi pahala seperti pahala penderitaan musibah. Ibnu Mas'ud r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya: "Siapa yang menghibur orang yang ditimpa /musibah (bala) maka mendapat pahala sama dengan jika dia menerima penderitaan itu". (at-Tarmizi).
b) Memperolehi perhiasaan kehormatan di hari kiamat. Amar bin Hazm r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Ertinya: "Tiada seorang mukmin yang menghibur saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan diberi oleh Allah perhiasan kehormatan di hari kiamat". (Ibnu Majah dan al-Baihaqi).
c) Memperolehi selendang di hari kiamat. Daripada Abu Barzah r.a. katanya bahawa telah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya: "Siapa yang menghibur wanita yang kematian anak, maka akan mendapat selendang di hari kiamat". (At-Tarmizi).